Malayan Union
tanpa sejarah kita tidak akan tahu asal usul keturunan dan juga perjuangan orang yang terdahulu dalam membawa kemerdekaan kepada negara kita sekarang.....
Sunday, 29 April 2012
Peristiwa Bukit Kepung
Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong adalah kejadian serangan komunis semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut, balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.
Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.
Dalam kejadian ini, 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban.
Permulaan
Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1948-1963). Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia. Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:
- Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
- Keadaan balai polis yang terpencil
Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis. Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya. Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.
Serangan Komunis
Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan menurut kandungan buku "Memoir Abdullah C.D.", diketuai oleh Muhammad Indera, seorang Komunis Melayu yang memimpin 2 platun komunis Melayu. Hal ini juga disahkan oleh Chin Peng semasa wawancara oleh penulis buku Dialogues with Chin Peng: new light on the Malayan Communist Party By C. C. Chin, Karl Hack. Menurut rancangan asal, Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu hanya sebagai amaran sahaja, bagaimanapun serangan yang turut disertai Komisar Goh Peng Tun itu bertukar menjadi tragedi buruk. Pihak komunis mengepung Balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 0415H. Apabila Mata-Mata Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat berduri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun dengan kekuatan anggota yang sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.Sekitar pukul 0500H pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan shotgun digerakkan dari Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk memberi bantuan. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Bren Gun turut dimusnahkan komunis.
Sekitar pukul 0700H, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Mata-Mata Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Mata-Mata Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.
Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.
Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Mata-Mata Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api. 14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.
Bantuan Dari Perkampungan berdekatan
Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema kebeberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Mukim, Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 anggota AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari balai polis Bukit Kepong. Keupayaan senjata mereka amat terhad berbanding pengganas komunis yang menggunakan senjata automatik dan separa automatik berbanding raifal, shotgun dan revolver yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.
Disebabkan keadaan tidak seimbangan, Penghulu Ali Mustafa mengarah anggotanya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.
Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada jam 1000H dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.
Apabila pengawal kampung memasuki pekan Bukit Kepong, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Penghulu Ali Mustafa mengambil alih pentadbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar dan Lenga. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapun mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk (Texas) berhadapan dengan cabaran yang hebat dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.
Mereka yang terselamat
- Anggota Polis
- Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff (meninggal);
- Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud (meninggal);
- Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid (meninggal);
- Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)
- Ahli keluarga anggota
- Mariam binti Ibrahim - isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Zainun binti Muhamad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Abu Samah bin Muhammad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Jamilah binti Abu Bakar - anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
- Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud
- Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Mata-Mata Hassan Osman
- Pon binti Khalid - isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
- Fatimah binti Tuani - isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
- Edmund Ross Williams Hunt - orang asli bertugas sebagai pemandu arah
Mereka yang gugur dalam pertempuran
- Anggota Polis
- Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
- Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
- Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
- Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
- Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
- Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
- Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
- Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
- Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
- Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
- Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
- Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
- Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad
- Polis Bantuan / Auxiliary Police
- Ins. Kudarina Naknok
- AP 2130 Samad bin Yatim
- AP 1912 Mahmud bin Sa'at
- AP 1925 Ali bin Akob
- AP 2127 Othman Yahya
- Keluarga Anggota
- Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
- Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
- Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
- Simah binti Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
- Arafah binti Yusoff - isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
- Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
- AP 2098 Redzuan bin Alias
- Embong bin Lazim
- Mendiang Koh Ah Cheng
Kontroversi
Kenyataan mengenai Peristiwa Bukit Kepong
Pada 21 Ogos 2011 semasa satu ceramah di Gelugor, Pulau Pinang, Mohamad Sabu mengeluarkan satu kenyataan kontroversi dengan mengatakan kononnya Muhammad Indera dan 200 anggota tentera pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Peristiwa Bukit Kepong 1950 yang selayaknya digelar "wira negara" dan bukannya anggota polis yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan balai polis Bukit Kepong, dengan mendakwa kononnya kesemua anggota polis semasa penyembelihan tersebut sebagai "pegawai British" manakala askar PKM pula dianggap "wira negara sebenar" memandangkan mereka "menentang British". Ceramah tersebut, yang videonya tersebar luas di laman YouTube, telah mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh Malaysia, memandangkan kenyataan tersebut dianggap sabagai satu penghinaan terhadap ahli keluarga mangsa yang terkorban, di samping para pejuang kemerdekaan lain yang tiada kaitan dengan PKM seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn Jaafar.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu 1941-1945
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu merupakan satu turutan pertempuran yang singkat tetapi sengit dan merupakan satu detik perubahan antara pemerintahan daripada orang putih (British) kepada pemerintah Jepun. Ini merupakan konsep baru yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran orang-orang Melayu umum pemerintahan oleh bangsa lain selain daripada mereka yang berkulit putih sebelum ini. Pertempuran ini membabitkan tentera negara-negara Komanwel, terdiri daripada British, India, Australia dan penduduk Melayu dari pasukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dengan Tentera Empayar Jepun bermula dari 8 Disember 1941 sehingga 31 Januari 1942 semasa Perang Dunia II.
Penjajahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera ke-25 menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Tentera Jepun melancarkan serangan serangan amfibi (amfibious assault) di pantai utara Tanah Melayu di Kota Bharu dan mula maju kebawah ke pantai timur Tanah Melayu. Ini dilakukan bersama dengan pendaratan di Pattani dan Singgora di Thailand, di mana mereka bergerak keselatan melalui jalan darat menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand untuk menyerang sebelah barat Tanah Melayu.
8 Disember - 18 Disember 1941
Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941, dan mencetuskan pertempuran hebat antara tentera India British dan tentera Jepun, hanya sejam sebelum berlakunya Serangan ke atas Pelabuhan Pearl. Pertempuran itu merupakan detik rasmi permulaan Perang Pasifik serta merupakan permulaan sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu. Pihak Jepun mengalami jumlah korban yang tinggi tetapi gelombang demi gelombang penyerang menyerbu ke pantai sehingga pihak British terpaksa berundur. Dari situ, mereka bergerak dan menawan lapangan terbang Kota Bharu. Pada masa yang sama, pihak Jepun menyerang Singapura, Hong Kong dan Pelabuhan Pearl melalui udara.
Pihak Jepun berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani, Butterworth dan Alor Star pada 9 Disember 1941. Pada 10 Disember 1941, kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse bergerak di persisiran timur Tanah Melayu menuju ke arah tempat pendaratan Jepun yang dilaporkan di Kuantan. Tanpa perlindungan udara, pesawat Jepun menyerang dengan gelombang demi gelombang dan berjaya menenggelamkan kedua-dua buah kapal tersebut. Kehadiran Tentera Laut British dihapuskan dalam masa yang singkat.Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Salah satu bergerak ke pantai timur menuju ke Kuantan, dan satu lagi ke selatan menuju Sungai Perak. Pada 11 Disember 1941, pihak Jepun mulai mengebom Pulau Pinang. Jitra jatuh ke dalam tangan Jepun pada 12 Disember 1941, dan kemudiannya Alor Star pada hari yang sama. Tentera British terpaksa berundur ke selatan. Pada 16 Disember 1941, pihak British meninggalkan Pulau Pinang kepada pihak Jepun yang mendudukinya pada hari yang sama.
Kemasukan tentera Jepun dari Siam
Pihak Jepun telahpun mengugut kerajaan Thai bagi membenarkan mereka menggunakan pengkalan tentera Thai bagi melancarkan serangan ke Tanah Melayu, selepas bertempur dengan tentera Thai selama lapan jam dalam Pertempuran Prachuab Khirikhan pada awal pagi. Thailand kemudiannya akan terlibat dalam perikatan tentera rasmi dengan Jepun untuk terus menyerang Tanah Melayu. Bagi pasukan yang mempertahankan koloni, terdiri daripada tentera British, Australia dan India, Pertempuran Tanah Melayu merupakan kempen yang membawa bencana.
Ketumbukan ke 5 tentera Jepun yang dipimpin oleh Lt. Jeneral Takaro Matsui telah ditugaskan menyerang Kedah mula mendarat di Singgora pada 8 Disember 1941. Pada awal pagi 10 Disember 1941, pasukan tentera Jepun di bawah perintah Kolonel Saeiki mula menyerang sempadan Bukit Kayu Hitam tetapi serangan tersebut dapat ditangkis tentera British. Namun serangan balas pada pagi tersebut juga memaksa tentera British berundur ke Asun. Tentera British yang mempertahankan Asun kemudiannya diasak dan memaksa mereka berundur ke Jitra. Dalam masa yang sama, tentera British yang mempertahankan Perlis terpaksa berundur ke Jitra. Semasa pengunduran, tentera British meletupkan beberapa jambatan kecil di sepanjang jalan antara Kodiang dengan Jitra. Ini menyebabkan banyak senjata berat tidak dapat di bawa ke Jitra.Sementara itu, di sebelah pantai timur, tentera Jepun yang mendarat, pada awalnya ditentang oleh Kor ke III India dari Tentera India dan beberapa batalion tentera British. Tentera Jepun dengan pantas mengasingkan unit India yang mempertahanan pantai, sebelum menumpukan tentera mereka bagi mengepong dan memaksa pasukan bertahan agar menyerah. Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Salah satu bergerak ke pantai timur menuju ke Kuantan, dan satu lagi ke selatan menuju kearah Sungai Perak.
Pasukan Jepun mempunyai sedikit kelebihan dari segi jumlah tentera di utara Tanah Melayu, dan kelebihan yang banyak dalam sokongan udara dekat, kereta kebal, kordinasi, taktik dan pengalaman oleh unit Jepun yang pernah bertempur dalam China. Sementara, pihak Jepun mempunyai jumlah kapal terbang yang kurang sedikit, kapal terbang pejuang mereka pada kebiasaannya lebih baik dan mencapai kelebihan udara. Pihak Berikat tidak mempunyai kereta kebal, yang meletakkan mereka dalam keadaan kurang baik. Pihak Jepun juga menggunakan infantari berbasikal dan kereta kebal ringan, yang membenarkan pergerakan pantas pasukan mereka melalui darat dan melalui muka bumi yang diselitupi hutan hujan tropika yang tebal. Pihak British telah mempunyai rancangan bagi melewatkan pendaratan Jepun di Selatan Thailand tetapi Ketua Marshal Udara Sir Robert Brooke-Popham, Panglima Tertinggi (Commander-in-Chief) bagi Markas Gerakan Timur Jauh British menolak memberikan kebenaran bagi melancarkan Operasi Matador dan Operasi Krohcol sebelum serangan Jepun, bagi mengelakkan risiko membangkitkan perang yang akan meletus.Force Z tentera laut, terdiri daripada kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse, bersama dengan empat pembinasa, dan diperintah oleh Laksamana Tom Phillips telah tiba sejurus sebelum permusuhan meletus. Bagaimanapun, kelebihan tentera udara Jepun mendorong kepada Penenggelaman HMS Prince of Wales dan HMS Repulse pada 10 Disember 1941, menjadikan persisiran pantai barat Tanah Melayu terdedah dan membenarkan tentera Jepun untuk meneruskan pendaratan mereka.
Kemaraan turun Semenanjung Tanah Melayu
Pengunduran pasukan tentera British bukan sahaja menjatuhkan moral pasukannya, malah memberi kesan taktikal kepada pertahanan Kedah. Serangan Jepun diteruskan hingga ke malam dan mereka berjaya memduduki beberapa tempat yang strategik di Bukit Jantan dan Bukit Alor iaitu dua tempat yang penting bagi pertahanan Jitra. Akibatnya pasukan British berundur ke selatan dan cuba memperkuatkan kedudukannya di Sungai Bata dan Kelubi dengan menggunakan askar Gurkha dan Punjab. Sementara itu di pihak Jepun, Mejar Jeneral Saburo Kawamura, pemerintah Briged ke - 9 mengarahkan pasukan pimpinan Kolonel Saeki diberi tambahan kereta kebal dan jurutera bagi membolehkan pasukan Jepun menawan jambatan Jitra sebelum British meletupkannya. Beliau mengarahkan Rejimen ke - 40 supaya menyerang bahagian timur jalan. Taktik penyeludupan juga dibuat untuk mara ke kawasan musuh dengan lebih cepat. Bagaimanapun serangan Jepun pada sebelah malam gagal akibat hujan lebat tetapi bernasib baik kerana pasukan Punjab tidak diselaras bagi menyerang pasukan Jepun, akibat kelemahan sistem perhubungan tentera British.
Mejar Jeneral Murray - Lyon yang mengetuai pertahanan British di Kedah mengambil keputusan berundur ke Gurun. Langkah ini dipersetujui oleh Ibu Pejabat Pemerintah Tanah Melayu. Pengunduran tentera British dari Jitra dijalankan dalam keadaan cuaca buruk. Ternyata ketumbuhan ke - 11 mengalami kemusnahan agak teruk berbanding tentera Jepun. Pertahanan Jitra yang dibina selama tiga bulan musnah dalam masa lima belas jam sahaja. Kekalahan tentera British dan India ini di Jitra oleh tentera Jepun, yang disokong dengan kereta kebal bergerak keselatan dari Siam pada 11 Disember 1941 dan kemaraan pantas pihak Jepun melalui darat dari beachhead Kota Bharu disebelah pantai barat daya Tanah Melayu mengatasi sistem pertahanan British di utara. Tanpa sebarang kehadiran tentera laut, pihak British tidak mampu mencabar operasi tentera laut Jepun di persisiran pantai Tanah Melayu yang terbukti berguna bagi tentera penjajah. Tanpa kehadiran kapal terbang British, pihak Jepun turut menguasai langit, menjadikan tentera darat Komonwelth dan penduduk awam terdedah kepada serangan udara. Pada 11 Disember 1941, pihak Jepun mula mengebom Pulau Pinang.
Sementara itu, ketumbukan ke-11 kemudiannya berjaya diundurkan ke selatan Sungai Kedah pada 13 Disember 1941. Dalam pada itu, tentera Jepun telah sampai ke Alor Star dan ramai yang berjaya menyeberangi Sungai Kedah. Bagi menyelamatkan keadaan, Murray -Lyon mengambil keputusan meletupkan jambatan Sungai Kedah dan jambatan keretapi. Pengunduran dari Alor Star ke Gurun kemudiannya diteruskan walaupun persediaan pertahanan di Gurun tidak memuaskan. Jitra jatuh ke dalam tangan Jepun pada 12 Disember 1941, dan kemudiannya Alor Star pada hari yang sama. Tentera British terpaksa berundur ke selatan. Pada 16 Disember 1941, pihak British meninggalkan Pulau Pinang kepada pihak Jepun yang mendudukinya pada hari yang sama. Sementara itu Pulau Pinang dibom hebat setiap hari oleh pihak Jepun dari 8 Disember sehingga ia ditinggalkan pada 17 Disember. Senjata, bot, bekalan, dan radia station yang berfungsi ditinggalkan begitu sahaja dalam tergesa-gesa dan jatuh ketangan tentera Jepun. Pengunduran orang eropah dari Pulau Pinang, dengan penduduk tempatan dibiarkan begitu sahaja ditangan tentera Jepun menyebabkan malu besar bagi pihak British dan mengasingkan mereka dari penduduk tempatan.
19 Disember 1941 - 31 Januari 1942
Pada 23 Disember Major-General Murray-Lyon dari Division Infantari India ke-11 ditukarkan dari bertugas tanpa memberi apa-apa kesan. Menjelang hujung minggu pertama Januari, keseluruhan daerah utara Tanah Melayu telah jatuh ketangan Jepun. Pada masa yang sama, Thailand secara rasminya menandatangani Persefahaman Persahabatan (Treaty of Friendship) dengan kerajaan Imperial Jepun, yang melengkapkan pembentukan perikatan tentera yang longgar. Thailand kemudiannya dibenarkan oleh pihak Jepun bagi meneruskan penguasaan mereka terhadap beberapa kesultanan di utara Tanah Melayu, dengan itu mengukuhkan pendudukan mereka. Tentera Jepun mara ke selatan dan menawan Ipoh pada 26 Disember. Penentangan sengit terhadap kemaraan Jepun dalam Pertempuran Kampar berlangsung selama tiga hari dan tiga malam antara 30 Disember 1941 sehingga 2 Januari 1942, sebelum Tentera British terpaksa berundur. Pada 7 Januari 1942, dua pasukan Briged India Tentera British dipintas dalam Pertempuran Slim River yang memberikan tentera Jepun laluan mudah ke Kuala Lumpur, ibu negara Tanah Melayu. Pada 9 Januari, kedudukan pasukan British semakin terdesak dan Komander Jeneral Wavell memutuskan untuk mengundurkan keseluruhan Tentera British ke utara Johor, dan meninggalkan Kuala Lumpur. Ia tidak mengambil masa yang lama bagi tentera Jepun menakluk matlamat mereka seterusnya, bandar Kuala Lumpur. Tentera Jepun masuk dan menduduki Kuala Lumpur tanpa ditentang pada 11 Januari 1942. Pulau Singapura kini berada hanya kurang daripada 200 batu dari tentera penakluk Jepun.
Pertahanan Johor
Barisan pertahanan British ditubuhkan di utara Johor antara Muar di barat sehingga Segamat, dan kemudiannya sehingga Mersing di sebelah timur. Briged Ke-45 ditempatkan di bahagian barat antara Muar dan Segamat. Pasukan Australia diletakkan pada kedudukan tengah dan bergerak maju ke utara dari Segamat ke Gemas di mana mereka bertembung dengan pasukan tentera Jepun yang sedang mara pada 14 Januari 1942. Pada 15 Januari, Divisyen Ke-15 yang merupakan pasukan tentera utama Jepun, tiba dan bertempur buat pertama kali dengan pasukan Australia Division ke 8, di bawah pemerintahan Major-General Gordon Bennett. Semasa pertempuran dengan tentera Australia, tentera Jepun mengalami kekalahan taktikal buat kali pertamanya, disebabkan tentangan sengit yang diberikan oleh (Tentera Imperial Australia) di Gemas. Pertempuran tersebut, berpusat sekitar Jambatan Gemencheh, memberikan kerugian besar kepada pihak Jepun, yang mengalami 600 korban tetapi jambatan itu sendiri, yang telah dimusnahkan semasa pertempuran, diperbaiki dalam tempoh enam jam.
Pihak Jepun kemudiannya cuba mengelilingi pertahanan pasukan Australia di barat Gemas, dengan itu memulakan pertempuran paling sengit dalam kempen penaklukan Tanah Melayu yang bermula 15 Januari di persisiran pantai barat Semenanjung Tanah Melayu berhampiran Sungai Muar. Bennett meletakkan Brigade India ke 45 yang tidak berpengalaman dan masih mentah bagi mempertahankan tebing Selatan sungai Muar tetapi unit tersebut dipintas oleh unit Jepun yang mendarat dari laut dan Brigade tersebut hampir musnah sepenuhnya dan komandernya Brigadier Duncan terbunuh. Pihak British mengarah Batalion Ke-19 dan Ke-29 ke barat, dan batalion Ke-19 bertempur dengan pihak Jepun pada 17 Januari 1942 di selatan Muar. Diketuai oleh AIF Liftenan-Kolonel Anderson, tentera India yang berundur disokong oleh tentera Australia membentuak pasukan Muar dan bertempur sengit selama empat hari bagi membenarkan sisa tentera Komenwelth berundur dari utara Tanah Melayu, dengan itu mengelakkan dipintas dan berundur melalui pasukan Jepun kekawasan selamat. Apabila Pasukan Muar sampai ke jambatan di Parit Sulong dan mendapati ia ditangan musuh, Anderson, dengan jumlah yang mati dan tercedera meningkat, mengarahkan setiap orang cuba 'menyelamatkan diri masing-masing'. Mereka yang mampu melalui hutan, paya, dan ladang getah bagi sampai ke ibupejabat batalion di Yong Peng. Mereka yang tercedera ditinggalkan kepada ihsan Jepun dan kesemua kecuali dua dari 135 disiksa dan dibunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong. Leftenan-Kolenal Anderson dianugerahkan Victoria Cross bagi perjuangannya semasa berundur..
Pertempuran berlanjutan sehingga 18 Januari, dan pada 20 Januari, pendaratan lanjut tentera Jepun dilakukan di Endau, walaupun menerima tentangan hebat dari serangan udara pengebom torpedo Vickers Vildebeest yang lapuk. Pertahanan terakhir Komonwelth di Johor Batu Pahat-Kluang-Mersing kini diserang sepanjang garis pertahanannya. Malangnya Percival telah menentang pembinaan pertahanan kaku di Johor, di persisiran utara Singapura, mengenepikan permintaan berulang untuk memulakan pembinaan oleh Ketua Juruteranya, Brigadier Ivan Simson, dengan ulasan "Pertahanan buruk untuk moral". Di sebalik cubaan Batalion Ke-19 dan Ke-29, Garis Pertahanan Johor roboh. Jeneral Wavell memerintah pengunduran umum menyeberangi Selat Johor ke pulau Singapura. Menjelang 31 Januari 1942, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke dalam tangan Jepun.
Parti Komunis Malaya 1948-1989
Parti Komunis Malaya (b. Inggeris: Malayan Communist Party) atau singkatannya PKM ialah sebuah pertubuhan yang diasaskan di Tanah Melayu (sekarang Malaysia) pada tahun 1930. Pertubuhan ini menentang penjajahan British yang ketika itu itu sedang memerintah Tanah Melayu. Ketika kedatangan Jepun, PKM membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk berperang dengan mereka.
Kampung Baru (1948-1989) |
Pemberontakan Bersenjata 1948-1989
Jepun mula menakluki Tanah Melayu pada 15 Februari 1942 sehingga 12 September 1945. Kezaliman sewaktu memerintah adalah pahit. Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu telah mendapat sokongan daripada anak negeri yang terperangkap dengan janji-janji kemerdekaan yang telah dijanjikan. Jepun juga turut menghampakan harapan mereka yang terperangkap dengan janji-janji Jepun untuk memberikan kemerdekaan dengan Propaganda jepun iaitu "Asia untuk Orang Asia" dan "Semangat Asia". Kekerasan berlaku. Mereka yang disyaki menentang Jepun akan dibunuh. Akibat kezaliman Jepun itu, semangat cinta akan tanah air telah dipupuk.
Pada Zaman Pendudukan Jepun, rakyat hidup dalam sengsaraan. Kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh Kempetai amat ditakutkan. Kempetai merupakan unit polis yang menangkap sesiapa yang disyaki menentang Jepun. Banyak masalah sosial juga ditimbulkan. Ekonomi merosot, ramai yang mati kebuluran, hasil pertanian dirampas, bilangan pengangguran semakin meningkat, ubat-ubatan tidak cukup menyebabkan ramai yang mati kerana penyakit. Orang Cina yang menghantar bantuan kepada negara China apabila [Perang Jepun dengan China] ditangkap dan dibunuh dengan penuh kezaliman. Memaksa rakyat membina Keretapi Maut di negara Thai. Dasar penjepunan diperkenalkan, sekolah-sekolah diganti dengan sekolah Jepun, bahasa Nippon-go digunakan, Kimigayo iaitu lagu kebangsaan Jepun dinyanyikan, tulisan Jepun ditulis. Perbuatan tersebut menyebabkan kelahiran MPAJA iaitu Tentera Anti Jepun Tanah Melayu, Force 136, Gerila Kinabalu dan lain-lain gerakan yang menentang Jepun. Akhirnya, Jepun menyerah kalah tanpa syarat setelah Hiroshima dan Nagasaki dibomkan. Walaupun Jepun telah menyerah kalah kepada tentera Berikat, tetapi banyak kesan-kesan positif malah negetif diwujudkan. Antaranya, Zaman Pendudukan Jepun itu telah membangkitkan semangat patriotik di kalangan rakyat tetapi masalah perpaduan telah diwujudkan serta masyarakat menjadi kucar-kacir. Ramai yang mati akibat kelaparan dan dijangkiti penyakit.Setelah Jepun menyerah kalah, MPAJA yang juga dikenali sebagai Parti Komunis Malaya ditubuhkan pada 20 April 1930. Yang pada awalnya bekerjasama dengan pihak British untuk menentang pendudukan Jepun berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940, mengambil peluang untuk membalas dendam terhadap sesiapa yang dianggap bersubahat dengan Jepun.
Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang. Manakala dari segi penglibatan negara luar pula, Parti Kuomintang dari China memainkan peranan yang penting untuk menyebarkan perfahaman komunis ke Tanah Melayu. Cawangan Kuomintang di Tanah Melayu diharamkan oleh British. Walau bagaimanapun, golongan komunis di Tanah Melayu menubuhkan Parti Komunis Nanyang tetapi diharamkan pada tahun 1930 kemudian menubuhkan pula Parti Komunis Malaya.
Tujuan penubuhan PKM adalah untuk menubuhkan sebuah republik komunis di Tanah Melayu. Semasa pemerintahan Jepun PKM menubuhkan MPAJA untuk menentang Jepun. MPAJA mendapat sokongan daripada orang Cina.
Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA dan melalui beberapa pertubuhan seperti Min Yuen, MRL dan sebagainya. Beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang-orang Melayu mulai bertindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selempang Merah. Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
Parti Komunis Malaya telah menguasai Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (bendahari), Rashid Maidin, Abdullah C.D. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.
Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.
Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku. Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent. Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang komunis.
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling ini yang diadakan pada 28-29 Disember 1955 tidak membawa apa-apa keputusan drastik. Ini disebabkan kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat Parti Komunis Malaya dibubarkan, tetapi Chin Peng pula meminta Parti Komunis Malaya dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik. Pihak kerajaan yang telahpun mencapai kemajuan dalam membasmikan Parti Komunis Malaya, dan menimbangkan kekejaman Parti Komunis Malaya terhadap rakyat sebelumnya, menolak usul membenarkan Parti Komunis Malaya dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa Parti Komunis Malaya bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British. Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ketika darurat masih lagi berkuatkuasa. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan Tanah Melayu dan Thailand. Penempatan baru komunis di sempadan telah membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya.
Selepas sekian lama dan atas kesedaran pucuk pimpinan Parti Komunis Malaya, maka pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) telah ditandatangani di antara Parti Komunis Malaya dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Perjanjian bersejarah itu telah menamatkan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya selama 41 tahun dan mengembalikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong dan patuh kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.
Penubuhan Malayan Union
Malayan Union
Pengenalan
Kekalahan British di Tanah Melayu atas tangan Jepun dalam tempoh yang singkat menyedarkan British terhadap kelemahan pentadbiran mereka di Tanah Melayu sebelum perang. Akibat pada Julai 1943, Malayan Planning Unit (MPU) telah ditubuhkan di London untuk merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu selepas tamat perang nanti. Pada 31 Mei 1944, kabinet perang telah meluluskan syor penyatuan politik Tanah Melayu yang dikemukakan oleh MPU. Pada 10 Oktober 1945, Setiauaha Pejabat Tanah Jajahan British, George Hall, telah mengumumkan parlimen mengenai penyatuan politik Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union (MU). Pada 11 Oktober 1945, Harold MacMichael dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan Sultan-sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Beliau melaksanakan tugasnya dari 18 Oktober hingga 21 Disember 1945. Parlimen British telah mengeluarkan “kertas putih” yang mengandungi cadangan-cadangan MU.
Cadangan-cadangan MU
Cadangan Perlembagaan MU mengandungi 2 fasal utama, iaitu yang berkaitan dengan pentadbiran dan kerakyatan.
1. Pentadbiran
a. Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu) dan 2 buah Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) digabungkan sebagai satu unit politik yang dikenali sebagai MU.
b. Singapura diasingkan dari MU kerana jumlah penduduk Cinanya yang ramai, kedudukan yang strategik dan taraf pelabuhan bebas. Singapura menjadi wilayah yang berasingan dan ditadbir oleh seorang Gabenor.
c. Kedudukan Sultan-sultan dikekalkan tetapi kekuasaan serta kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu di mana mereka dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Melayu negeri masing-masing.
d. Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan sebagai badan yang menguruskan hal-ehwal tempatan tetapi diletakkan di bawah kawalan langsung kerajaan pusat.
e. MU akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British dengan pemusatan pentadbiran yang diketuai oleh Gabenor di Kuala Lumpur.
f. Gabenor akan menjalankan pentadbiran dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan Pusat. Selain itu, Majlis Penasihat juga ditubuhkan.
g. Seorang Gabenor Jeneral dilantik untuk mengawasi pentadbiran MU, Singapura dan wilayah Borneo.
2. Kerakyatan
Perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Syarat kerakyatan:
a. Lahir di Tanah Melayu atau Singapura.
b. Tinggal di Tanah Melayu selama 10 tahun daripada tempoh 15 tahun yang terdahulu sebelum 15 Februari 1942.
c. Lahir di luar Tanah Melayu tetapi ibu atau bapa atau kedua-duanya warganegara MU.
d. Mereka yang tidka layak mengikut syarat atas boleh memohon menjadi warganegara selepas tinggal di Tanah Melayu selama 5 tahun.
Sebab penubuhan MU
1. Mewujudkan keseragaman dan kecekapan
MU dilaksanakan supaya dapat mewujudkan keseragaman atau kecekapan dalam pentadbiran di seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, terdapat 3 bentuk pentadbiran yang tidak seragam, iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” menegaskan bahawa sistem pentadbiran tersebut bukan sahaja janggal tetapi mahal. Sistem pentadbiran sebelum perang perlu dihapuskan kerana ianya mempunyai banyak kelemahan. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya bukan sahaja dapat mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, tetapi juga menjimatkan belanja pentadbiran.
2. Melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu
Penubuhan MU bertujuan untuk melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina dan India. Taat setia orang Cina dan India masih lagi ke negara asal mereka. Diharapkan dengan pemberian kerakyatan yang longgar, orang Cina dan India akan menumpukan taat setia kepada Tanah Melayu apabila mereka menjadi warganegara MU.
3. Mengimbangi perkembangan ekonomi
MU juga bertujuan untuk mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, perkembangan ekonomi antara negeri tidak seimbang. Secara umunya, Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu lebih maju daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya akan mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu.
4. Persiapan ke arah berkerajaan sendiri
Mengikut British, MU merupakan persiapan Tanah Melayu menuju ke arah berkerajaan sendiri. Sebelum hasrat ini tercapai pentadbiran yang stabil perlu diwujudkan. Selain itu, kesedaran nasional perlu ditanam di kalangan penduduk seluruh Tanah Melayu.
5. Meneruskan usaha British
MU juga dilaksanakan bagi meneruskan usaha British untuk menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu sebagai satu unit politik seperti yang dijalankan sebelum Perang Dunia Kedua. Buktinya: desentralisasi dilaksanakan dengan tujuan mempengaruhi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu menyertai persekutuan.
6. Meneruskan penguasaan politik dan ekonomi
Penubuhan MU akan membolehkan British meneruskan penguasaannya ke atas politik dan ekonomi Tanah Melayu kerana Malayan Union akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British.
7. Membalas dendam
MU juga dilaksanakan dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” menegaskan sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti-Melayu kerana mereka kecewa dengan tindakan orang Melayu yang bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan orang Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak keistimewaan dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan.
8. Mengenang jasa
James V. Allen juga mendakwa penubuhan MU bertujuan mengenang jasa orang Cina yang telah bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Majoriti orang Cina menjadi anggota Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dan bersama-sama British dalam usaha mengusir Jepun dari Tanah Melayu. Akibatnya, perlembagaan MU dirangka sebegitu rupa yang menguntungkan orang Cina yang berkaitan dengan kerakyatan.
9. Menghalang usaha ke arah kemerdekaan
MU dilaksanakan bagi menghalang usaha ke arah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh penduduk Tanah Melayu, terutamanya orang Melayu. Sejak pendudukan Jepun, orang Melayu telah berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan. Usaha mereka akan terhalang kerana MU akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British.
10. Menyusun strategi pertahanan
Penubuhan MU bertujuan memudahkan British menyusun strategi pertahanan. Sebelum Perang Dunia Kedua, British mendapati sukar untuk menyusun strategi pertahanan Tanah Melayu kerana bukan semua negeri ditadbir secara langsung oleh British. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya akan memudahkan British menyusun strategi pertahanan yang berkesan.
Penentangan MU oleh orang Melayu
Pengenalan dan penubuhan MU telah menimbulkan penentangan hebat dari orang Melayu. Sebabnya:
1. Cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan-sultan
Orang Melayu tidak bersetuju dengan cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Semasa diminta menandatangani persetujuan tersebut, Sultan-sultan tidak diberitahu cadangan-cadangan yang terkandung dan perlembagaan MU. Sultan-sultan juga tidak diberi masa cukup untuk meneliti kebaikan dan keburukan MU. Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan berbincang dengan pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri sebelum menandatangani persetujuan penubuhan MU. Ugutan Harold MacMichael telah menambahkan kemarahan orang Melayu. Sekiranya mana-mana Sultan enggan menandatangani persetujuan penubuhan MU, Sultan tersebut akan dianggap pro-Jepun dan disingkirkan dari takhta. Contoh yang jelas ialah Sultan Badlishah yang diberi kata dua sama ada menandatangani persetujuan penubuhan MU atau turun dari takhta.
2. Kekuasaan dan kewibawaan Sultan
Penubuhan MU akan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal-ehwal Islam dan adat resam Melayu. Malah kuasa Sultan dalam hal-ehwal Islam juga terjejas apabila British mencadangkan penubuhan Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh Gabenor. Sultan-sultan dianggap sebagai pelindung orang Melayu. Kemerosotan kuasa Sultan bererti kehilangan kuasa orang Melayu.
3. Hak istimewa
Penubuhan MU akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Orang Melayu tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang Cina dan India yang dianggap pendatang yang menumpang di Tanah Melayu. Penghapusan hak istimewa menyebabkan orang Melayu bimbang penguasaan ekonomi oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan meluaskan jurang ekonomi antara orang Melayu dengan Cina.
4. Hak kerakyatan
Orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana merek masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Pemberian taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang sudahpun menguasai ekonomi akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu. Kebimbangan mereka bertambah kerana pada tahun 1947, jumlah Melayu hanya 49.46% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu.
5. Balas dendam
Orang Melayu juga menentang MU kerana mereka menyedari perlembagaan MU merupakan balas dendam British terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” mendakwa sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan orang Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak istimewa dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan.
6. Masa cemas
MU dilaksanakan pada masa cemas dalam hubungan antara orang Melayu dan Cina akibat pemerintahan Jepun. Oleh itu, orang Melayu mendakwa perkembangan ini dilaksanakan dalam suasana anti Melayu dan pro Cina kerana MU merugikan orang Melayu dan menguntungkan orang Cina.
7. Orang Melayu tidak terlibat
Orang Melayu tidak terlibat dalam merangka perlembagaan MU. Perlembagaan itu dirancang oleh Pegawai British dalam MPU di London. Pendapat orang Melayu langsung tidak diminta oleh British semasa mereka merangka perlembagaan tersebut.
Bentuk penentangan
1. Akhbar
Akhbar-akhbar telah memainkan peranan penting dalam membangkitkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Akhbar-akhbar telah mendedahkan keburukan dan kerugian yang akan dialami oleh orang Melayu jika MU dilaksanakan. Orang Melayu telah diseru supaya bersatu dalam usaha menentang MU. Orang Melayu juga diseru supaya memulihkan pertubuhan yang telah wujud dan menubuhkan pertubuhan baru. Pertubuhan-pertubuhan ini perlu digabungkan bagi menguatkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Berita tentang penentangan orang Melayu dimuatkan dalam akhbar untuk pengetahuan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Di antara akhbar-akhbar tersebut ialah Utusan Melayu, Warta Negara, Majlis dan Pelita Malaya.
2. Kerjasama
Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah bersatu dan bekerjasama dalam usaha menentang MU. Mereka telah menulis surat kepada Raja British dan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu memohon sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Mereka juga mendesak Kerajaan British dan Pejabat Tanah Jajahan membatalkan rancangan penubuhan MU dan merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu khususnya yang dapat melindungi kepentingan orang Melayu. Bekas pegawai British tersebut telah menulis dalam akhbar di Britain, terutamanya akhbar Times untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Antara bekas pegawai British tersebut ialah Frank Swettenham, Authur Richard, Cecil Clementi, Rolland Braddle dan Winstreadt. Orang-orang Melayu telah mengadakan perarakan dan perhimpunan di semua ibu negeri dan di bandar-bandar lain di Tanah Melayu untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap MU. Sebagai contoh: pada 15 Disember 1945, 10 ribu orang telah berkumpul di hadapan istana di Kota Bahru semasa Harold MacMichael menemui Sultan untuk mendapatkan tandatangan. Pada 25 Januari 1946, hampir 5000 orang telah mengadakan perhimpunan di Padang Mahkamah, Alor Setar. Pada 10 Februari 1946, perhimpunan yang dihadiri oleh 15 ribu orang diadakan di Johor Bahru. Satu perhimpunan raksasa yang dihadiri lebih 50 ribu orang diadakan di Kuala Kangsar pada 10 Mac 1946.
3. Kongres
Hasil dari daya usaha Kesatuan Melayu Selangor dan Dato’ Onn bin Jaafar, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Kongres tersebut dihadiri 107 perwakilan dan 56 pemerhati dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu. Kongres tersebut telah mendesak orang Melayu supaya bersatu dan berusaha untuk menentang MU. Kongres tersebut juga mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang akan dianggotai oleh orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya Kedua diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu tersebut. Akibatnya lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO dalam Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Dato’ Onn bin Jaafar dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama.
4. Pemulauan
Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, British tetap mahu melaksanakan MU. Akibatnya, Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah memulaukan upacara panubuhan MU dan perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor pertama pada 1 April 1946.
5. Perkabungan
Selama seminggu sejak penubuhan MU, orang Melayu telah mengadakan perkabungan untuk menunjukkan betapa sedihnya mereka akibat penubuhan MU. Dalam perkabungan tersebut, lelaki Melayu memakai songkok yang dililit kain putih manakal wanita Melayu melilitkan kain putih di lengan baju. Perkabungan orang Melayu mendapat simpati orang asli. Diberitakan dalam akhbar Pelita Malaya, bertarikh 5 April 1946, orang-orang Sakai di Ulu Langat telah keluar ke Pekan dengan memakai bunga-bunga kabung.
6. Ahli Melayu
Ahli-ahli Melayu dalam Majlis Penasihat menarik diri untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap MU.
Kesimpulan
Akibat tentangan orang Melayu dan perakuan Edward Gent serta Malcolm MacDonald, maka British telah menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D. Grammant dan D.R. William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada laporan mereka, British bersetuju membubarkan MU dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Persekutuan Tanah Melayu menjadi lindungan British. Dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan dikekalkan. Selain itu, syarat kerakyatan telah diperketatkan.
Subscribe to:
Posts (Atom)